Oleh AHMAD TARMIZI BOLHASSAN.
metahad@hmetro.com.my
APA istimewanya ikan buntal hingga sebuah perkampungan nelayan di Bahagian Kuching berdekatan Gunung Santubong dan Kampung Budaya Sarawak mengabdikan namanya.
Walhal, ikan itu secara umum dipercayai antara spesies beracun di dunia seperti katak racun emas. Organ dalaman seperti hati dan kulitnya sangat berbahaya bagi sejumlah haiwan jika dimakan, namun daging beberapa spesies ikan itu tetap dijadikan makanan di beberapa negara seperti Jepun, Korea dan China.
Menurut cerita orang dulu, sejarah nama Kampung Buntal merujuk kepada Sungai Buntal yang pada masa itu terkenal dengan ikan Buntal yang begitu banyak dan wujud kira-kira 300 tahun dulu.
Individu pertama mendiami Kampung Buntal ialah Datuk Tanggak yang terpeson
dengan kedudukan kampung terbabit lalu membawa ahli keluarga menetap di situ selain menjadi tempat persinggahan ketika menangkap ikan.
Malah, kedudukannya yang dikatakan strategik turut dijadikan kawasan berlindung khususnya ketika musim tengkujuh dan sejak dari itu bermulanya kehidupan di Kampung Buntal yang kini didiami lebih 1,000 penduduk dengan 80 peratus adalah berketurunan Melayu, diikuti Cina dan Iban.
Pada mulanya, kampung yang terletak kira-kira 27 kilometer dari pusat bandar raya ini terletak di tepi laut namun disebabkan bencana alam selain kerakusan manusia menyebabkan berlakunya hakisan pantai sekali gus memaksa penduduk berpindah ke kawasan jauh dari pantai.
Rumah penduduk di situ dibina di sepanjang jalan kampung dan masih mengekalkan seni bina tradisional dan rata-rata penduduk hidup dalam kesederhanaan.
Terkenal sebagai destinasi makanan laut, Kampung Buntal turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar selain menjadi pusat pengeluaran belacan, ikan kering dan kek lapis Sarawak.
Menurut generasi ketiga penduduk Kampung Buntal, Ban Rapaee, 66, pada awalnya hanya ada tujuh rumah penduduk saja di kampung berkenaan.
Beliau yang kini menjadi pengusaha belacan berkata, banyak perubahan disaksikannya sejak lebih 60 tahun lalu menetap di kampung berkenaan terutamanya daripada segi prasarana, bekalan air, api, jalan raya dan kegiatan ekonomi.
Katanya, menangkap ikan adalah aktiviti utama di Kampung Buntal iaitu membabitkan kira-kira 60 peratus penduduk dan hampir setiap ketua isi rumah memilih bekerja sebagai nelayan pantai dengan hasil tangkapan biasanya untuk kegunaan sendiri.
"Kebanyakan penduduk Kampung Buntal bergantung hidup dengan hasil tangkapan ikan yang mana selain untuk kegunaan sendiri, mereka juga menjualnya sebagai sumber pendapatan.
"Tapi ada juga yang sudah bergelar usahawan dengan mengusahakan perniagaan berasaskan hasil tangkapan laut," katanya. Penghulu, Matli @ Madli Sah, 57, berkata Kampung Buntal sudah menerima arus pembangunan dan kemudahan seperti jalan raya bagi memudahkan mereka berhubung dengan kampung lain.
"Dulu cukup berbeza, penduduk kampung mengambil masa dua hingga tiga jam untuk ke pusat bandar raya, tapi sekarang hanya mengambil masa 20 minit," katanya.
Kerancakan ekonomi di kampung berkenaan turut memberi rezeki khususnya kepada golongan wanita di mana Kampung Buntal juga terkenal dengan perusahaan makanan yang dikendalikan Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).
Umpamanya, seorang usahawan wanita, Serimah Hazimi, 40, menjalankan perniagaan membuat Kek Lapis Sarawak Ori sejak enam tahun lalu yang bukan saja mendapat permintaan daripada penduduk sekitar Kuching, malah turut digemari pengunjung luar.
Selain itu, Kampung Buntal turut terkenal dengan perusahaan belacan dan amat diminati penduduk di sekitar bandar raya ini yang mana ia turut menjadi 'buruan' pelawat terutamanya dari Semenanjung untuk dijadikan ole-ole.
Fakta Kampung Buntal
1. Pada mulanya Kampung Buntal hanya ada tujuh rumah.
2. Sebuah kampung nelayan yang terletak di dalam daerah Kuching dan berdekatan dengan Gunung Santubong dan Kampung Budaya Sarawak.
3. Jarak antara Kampung Buntal dan pusat bandar raya kira-kira 27 kilometer dengan menggunakan kemudahan jalan raya.
4. Sejarah namanya diambil sempena Sungai Buntal yang pada masa itu terkenal dengan ikan buntal yang banyak.
5. Berdekatan dengan Santubong Resort dan Pantai Damai
sumber:http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment