Pelancongan Ekologi, Perkataan Popular Di Batang Ai
Oleh Caroline Jackson
LUBOK ANTU, 1 April (Bernama) -- Malahan sebelum pelancongan berasaskan ekologi atau eko-pelancongan menjadi perkataan popular, penduduk di Batang Ai sudahpun terdedah kepada dunia luar hasil daripada tradisi Iban 'bejalai' atau pergi mengembara.
Berikutan pembinaan empangan hidro elektrik pertama di Sarawak iaitu di Batang Ai, yang siap pada 1985, kawasan itu yang sebelumnya terpencil kini sudah dihubungkan dengan jalan raya dari jetinya, hingga ke persimpangan lebuh raya Pan Borneo dan seluruh negeri ini.
Tasik buatan manusia yang sungguh mengagumkan itu, merentasi lembah antara Engkari dan Ai, dan Taman Negara Batang Ai, yang menjadi tempat tinggal Orang Utan dan kira-kira dua jam perjalanan dengan bot, adalah sebahagian daripada kompleks empangan hidro elektrik itu.
Dengan pusat peranginan Hilton Batang Ai Longhouse Resort di pantainya, penduduk di kawasan sekelilingnya turut mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dibawa oleh industri hospitaliti, serta promosi produk pelancongan berasaskan kebudayaan, pengembaraan dan alam semulajadi (CAN).
Pengurus Pelanggan/Aktiviti Hilton Batang Ai Longhouse Resort Christopher Kiding berkata penduduk setempat dibabitkan dalam usahasama berdasarkan perkongsian keuntungan dalam membawa pelanggan hotel ke rumah panjang Iban di kawasan itu, selain diambil bekerja sebagai kakitangan hotel.
"Lawatan ke rumah panjang adalah paling popular di kalangan pelancong Eropah yang gemarkan alam semulajadi, yang biasanya akan melawat rumah panjang Mengkak, kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot, dan kemudiannya pergi ke hulu sungai untuk melawat rumah panjang Nanga Sumpa yang terletak di hujung taman negara," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke pusat peranginan itu.
Baru-baru ini, pusat peranginan itu menerima anugerah 'Sarawak Hornbill Tourism Appreciation Awards 2008' bagi sumbangan cemerlang terhadap pelancongan bagi kategori hotel harga pertengahan terbaik.
Untuk ke pusat perangingan itu, pelawat boleh menggunakan bot yang memakan masa 20 minit perjalanan dari jeti empangan itu atau kira-kira empat jam perjalanan mengikut jalan darat atau 275km dari ibu negeri, Kuching.
Terletak di kawasan seluas 70 hektar, Kiding berkata lawatan termasuk 45 minit menyusuri Nature Trail atau lima jam bagi Smugglers' Trail, diberi nama sempena urus niaga sistem tukaran barang di sepanjang Sarawak-Kalimantan, Indonesia, untuk meninjau hidupan liar seperti burung kenyalang, babi hutan, tenggilin atau malahan Orang Utan.
Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, pusat peranginan 98 bilik itu merekodkan purata penginapan 40 peratus, terutamanya pada musim puncak antara Mei dan Oktober, dengan pelanggan, kebanyakannya dari Scandinavia, Amerika Syarikat, Jerman, Singapura dan Malaysia.
Jeti empangan Batang Ai terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bazar sempadan Lubok Antu, pusat pentadbiran daerah, yang begitu sibuk menjelang pilihan raya kecil kerusi Batang Ai pada Selasa ini.
sumber:http://www.bernama.com/-- BERNAMA
Taman Negara Batang Ai yang diwartakan pada tahun 1991, ialah tempat perlindungan pelbagai jenis hidupan liar.
Ianya juga berfungsi sebagai kawasan tadahanan air bagi sebuah tasik buatan yang membentuk empangan hidroelektrik Batang Ai.
Tasik ini merangkumi kawasan Lembah Engkari dan Lembah Ai di mana permandangannya yang indah melengkapkan suasana tenteram dan aman di sini.
Oleh kerana kemudahan di kawasan taman negara ini adalah terhad, cara terbaik untuk menikmati kawasan ini ialah dengan mengambil bahagian dalam lawatan ke rumah panjang.
Anda berpeluang bertemu dengan kaum Iban dan mempelajari cara hidup mereka di rumah panjang.
Saksikan juga kaum Iban berinteraksi dengan alam semulajadi dalam hidup seharian mereka tanpa mencemar atau memusnahkannya.
Tips:
Lawatan ke rumah panjang merupakan pengalaman yang sungguh menarik, terutamanya masyarakat Iban yang terkenal dengan keramahan mereka.
Pengangkutan:
Kereta, Van
Taman Negara Batang Ai terletak hanya beberapa jam perjalanan dari bandaraya Kuching. Sekiranya lawatan anda telah dirancang bersama dengan pengusaha pelancongan, maka kemudahan pengangkutan akan dimasukkan di dalam pakej lawatan tersebut.
Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Tourism Malaysia Sarawak di talian : +6082-246 575 / 775 E-mel: mtpbkch@tourism.gov.my
Penginapan
Selain dari resort bertaraf 5-bintang yang terdapat di taman negara ini, pengendali pelancongan anda juga boleh mengaturkan penginapan di rumah panjang Iban yang berdekatan.
sumber:http://www.kurauking.com/