Taman Negara Gunung Gading merupakan salah satu keistimewaan yang terdapat di daerah Lundu. Hal ini kerana, Taman Negara Gunung Gading mempunyai tarikannya yang tersendiri iaitu Bunga Rafflesia; bunga terbesar di dunia. Selain itu, Taman Negara Gunung Gading juga merupakan salah satu tempat yang terbaik di Asia untuk melihat bunga Rafflesia berkembang.
Terdapat 17 spesies bunga Rafflesia dan ada segelintirnya telah diancam kepupusan. Tiga spesies bunga Rafflesia terdapat di Sarawak iaitu; ‘Rafflesia Pricei’ , ‘Rafflesia Arnoldi’ dan ‘Rafflesia Tuan-Mudae”. Cuma satu spesies bunga Rafflesia sahaja yang dijumpai di Taman Negara Gunung Gading iaitu ‘Rafflesia Tuan-Mudae’.
Gunung Gading telah diwartakan sebagai Taman Negara pada 1 Ogos 1983 untuk memberi kawasan pemuliharaan untuk melindungi bunga Rafflesia yang hampir pupus. Pada tahun 1994, Taman Negara Gunung Gading telah dibuka kepada orang awam supaya pengunjung dapat melihat sendiri keindahan bunga terbesar di dunia iaitu bunga rafflesia. Selain daripada itu, Taman Negara Gunung Gading juga mempunyai tarikan yang lain seperti air terjun, laluan pejalan kaki, beberapa tempat mandi-manda serta pemandangan hutan simpan yang indah untuk dikunjungi. Taman Negara ini juga merupakan habitat semulajadi bagi beberapa flora dan fauna.
Disebabkan kawasannya yang strategik menjadikan Taman Negara Gunung Gading sesuai dijadikan sebagai tempat beriadah. Di samping pengunjung dapat melihat sendiri keindahan bunga Rafflesia dengan mata sendiri, pengunjung juga dapat berkelah bersama kaum keluarga di sepanjang laluan air terjun yang menjanjikan panorama yang indah disertakan dengan kedinginan air gunung yang belum tercemar.
No comments:
Post a Comment